The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS7 | Selangor FC vs Negeri Sembilan FC | Perlawanan Yang Mendebarkan!

Apr 06, 2023 - FAS

Tiga mata berharga diraih di Stadium MBPJ, Kelana Jaya selepas menewaskan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super 2023 ketujuh dengan keputusan 2-1. 

Statistik perlawanan melihat 66% penguasaan bola, 84% ketepatan hantaran, 18 percubaan dan 10 sepakan penjuru. Jaringan pertama telah dijaringkan oleh Faisal Halim pada minit ke-63 perlawanan dan gol kemenangan ditanduk masuk oleh Sharul Nazeem pada minit ke 90+1.

Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau berbangga dengan mentaliti pemain yang menghasilkan kemenangan untuk perlawanan tempoh hari. 

“Secara keseluruhan, pemain menunjukkan mentaliti yang kuat untuk memenangi perlawanan malam itu. Kalau kita lihat, pada separuh masa pertama, rentak pasukan agak lambat, kita kemudian dibolosi dengan jaringan penalti. Namun pada separuh masa kedua, kita berjaya mendominasi perlawanan, hasilnya kita dapat tiga mata tersebut.

Walau bagaimanapun, banyak lagi yang kita perlu diperbaiki dari segi individu dan pasukan untuk berada di satu tahap yang terbaik,” kata Tan Cheng Hoe.

Daripada perlawanan #SELNSE semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Faisal Halim terus menambah rekod peribadinya

Stadium MBPJ bergema dengan ‘Si’ sebaik sahaja pemain lincah, Faisal Halim menjaringkan gol pertama beliau dalam perlawanan home Gergasi Merah pada minit ke-63 perlawanan hasil daripada hantaran Quentin Cheng. Faisal terus menyumbang kepada pasukan dengan dua jaringan gol dan empat assist untuk setaka ini. 

Pertahanan Tengah Gergasi Merah melakar rekod masing-masing

Sharul Nazeem, center back tempatan Gergasi Merah berjaya menanduk masuk gol buat pasukan daripada sepakan freekick Yohandry Orozco pada minit ke 90+1 perlawanan sekaligus membawa kemenangan untuk pasukan. Ini merupakan gol ketiga (2021 vs UiTM, 2022 vs Terengganu FC dan 2023 vs Negeri Sembilan FC) peribadinya sepanjang bersama Selangor FC, dua daripadanya merupakan gol menerusi tandukan. 

Richmond Ankrah beraksi penuh buat kali pertama untuk musim ini bersama skuad Gergasi Merah. Beliau telah membantu pasukan dari segi fizikal dengan membuat hadangan-hadangan yang datang dari pihak lawan.

Quentin Cheng menambah rekod bantuan gol peribadinya

Quentin Cheng kembali dalam sebelasan utama dan membuat satu bantuan gol kepada Faisal Halim dengan hantaran tepatnya pada minit ke 63 perlawanan. Ini menjadikan assist kelima rekod peribadinya bersama Selangor FC.

Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang telah hadir ke stadium menyokong pasukan sehingga tamat perlawanan. Suara bergema dengan sokongan anda di Stadium MBPJ sepanjang perlawanan telah menambah semangat pasukan. 

Selain itu, terima kasih juga buat pasukan atas kerja keras untuk mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini. Terus kekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Ayuh, Gergasi Merah! 

Demi Kebanggaan!